[youtube]http://www.youtube.com/watch?v=D33wVL5X_HI[/youtube]

Acara: Soal Jawab TV3 - Aqidah dan Homoseksual
Lokasi: TV3
Tarikh: 18/01/2012
Moderator: Ahmad Noor Sulaiman
Panel:

-Tan Sri Harunssani Zakaria, Mufti Negeri Perak
-Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Semoga bermanfaat...

Video Penuh: http://www.youtube.com/watch?v=D33wVL5X_HI

Playlist: http://www.youtube.com/playlist?list=PL072BE42CE1977AD3





Soalan : Bagaimana ustaz melihat konteks ayat ini (Surah Yasin 36, ayat 36) terhadap gejala homoseksualiti dan usaha mereka untuk menuntut keadilan dan hak-hak yang mereka tuntut?

UFB : 

“Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya.” (Yasin 36 : 36)

Bukti atau penjelasan tentang pasangan ini ditafsirkan sendiri oleh Al-Qur’an. Allah berfirman, 

“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu dari diri yang satu, dan yang menjadikan daripada itu pasangannya, dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati kamu.” (An-Nisa 4 :1)

Pertama, asas pasangan dan hubungan dalam Islam ialah antara lelaki dan wanita. Apa jua bentuk pasangan yang Allah maksudkan dalam Al-Qur’an maka ia merujuk kepada lelaki dan wanita.

Kedua, homoseksualiti jelas menyelisihi maksud berpasangan yang dimaksudkan dalam Al-Qur’an. Bukan sahaja Al-Qur’an, bahkan dalam hadis-hadis menunjukkan hal yang sama. Dalam sebuah hadis Nabi yang masyhur Nabi mengatakan,

“Kahwinilah wanita penyayang lagi subur. Sesungguhnya aku bangga dengan banyaknya kamu (umat Muhammad) berbanding umat-umat lain.” (Sahih: Sebahagian daripada hadis yang panjang daripada Ma’qil bin Yasar radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, Abu Daud, al-Nasai, al-Baihaqi dan lain-lain, dinilai sahih oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Irwa’ al-Ghaleel)

Ini menunjukkan sokongan yang jelas dari Al-Qur’an dan hadis Nabi akan pasangan yang dimaksudkan dalam Islam ialah antara lelaki dan wanita. Islam tidak pernah mewujudkan pengiktirafan adanya wujud pasangan selain antara lelaki dan wanita.

Oleh yang demikian itu, usaha-usaha untuk menuntut pengiktirafan terhadap homoseksualiti jelas bercanggah dengan prinsip dan dasar Islam. Apatah lagi untuk meletakkan kalimah adil. Adil dalam Islam didefinisikan dengan meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Ketika kita berbicara tentang wasatiyah dan tentang keadilan. Sebenarnya kedua perkara ini membawa prinsip dan asas yang sama yakni merujuk kepada hukum Islam itu sendiri.

Islam telah meletakkan garis panduan, apabila Allah menyatakan, 

 “Itulah batasan-batasan yang telah Alla tetapkan, maka jangan sama sekali kamu menghampirinya”. (Al-Baqarah 2 : 187)

Batasan yang dimaksudkan ialah hukum-hukum yang Allah tetapkan.

Soalan : Komen Ustaz mengenai Gerakan LGBT. Ada yang berhujah kecenderung seks ini adalah hak individu?

UFB : Tafsiran atau terjemahan hak asasi manusia itu terlalu subjektif. Adakah hak asasi itu sesuatu yang mahu dituntut walaupun menyalahi dasar agama? Ataukah hak asasi yang dituntut itu ada batasan? Namun dalam isu tuntutan LGBT ini, ia jelas tuntutan hak asasi itu menyelisihi prinsip dan dasar Islam.

Islam tidak pernah mengajar kita menjadi bebas. Contoh mudah Nabi pernah berkata,

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah berkata baik atau diam.” (Sahih Bukhari & Muslim)

Berdasarkan prinsip hak kebebasan bersuara, kita dibolehkan bercakap sesuka hati. Namun ia berbeza dengan prinsip Islam. Islam menetapkan apa yang ingin diucapkan itu haruskan perkara yang baik.. Para ulama’ hadis seperti Ibnu Hajar al-Asqalani dan Imam Nawawi menjelaskan perkataan “khair”atau baik sudah semestinya perkara yang sesuai dan bertepatan dengan Al-Qur’an dan As-Sunnah.

Persoalannya, adakah seruan-seruan LGBT dan homoseksualiti seperti ini termasuk dalam perkataan yang baik?

Nabi secara jelas menyebutkan ciri-ciri orang yang beriman kepada Allah dan beriman kepada hari akhirat, adalah orang yang berkata baik atau berdiam diri.

Maka kita katakan ‘hak asasi’ perlu didefisikan dengan lebih tepat. Dalam urusan yang tidak bersangkut paut dengan prinsip dan dasar agama, maka manusia itu bebas memilih. Sebagai contoh bebas memilih warna baju, makanan kegemaran, kereta kegemaran dan hal-hal yang seperti itu.

Namun dalam hal-hal yang berkait dengan prinsip dan dasar Islam, maka sama sekali kita tidak boleh memberikan manusia memilih apa yang mereka inginkan. Kita tidak mahu menjadi seperti golongan yang Allah sebutkan,

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati tetapi tidak mahu memahami, dan yang mempunyai mata tetapi tidak mahu melihat dengannya, dan yang mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. (Al-A’raf 7 : 179)

Soalan : Bagaiman ubat yang terbaik untuk merawat penyakit sosial begini?

UFB : Islam telah memberikan jalan penyelesaian, secara prinsip dan dasarnya. Ini seperti kata Nabi dalam sebuah hadis dari sahabat ‘Irbadh bin Sariyah,

“Rasulullah saw telah menasihati kami dengan satu nasihat yang menggetarkan hati kami sehingga menitiskan air mata kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata : Ya Rasulullah! Seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali maka berilah pesanan kepada kami. 
Lalu baginda pun bersabda: “Aku berwasiat kepada kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti ia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para khulafa ar-rasyidin dan gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara baru (bid’ah) yang diada-adakan kerana sesungguhnya tiap-tiap bid’ah itu adalah sesat”
(Sunan Abu Dawud dan Tirmidzi)

Nabi menyebutkan perselisihan secara umum, bermakna apa jua bentuk perselisihan. Dan isu LGBT ini juga memunculkan perselisihan yang dikira bukan sebagai perselisihan yang kecil. Kerana ia melibatkan prinsip dan dasar agama.

Oleh itu perkara pertama yang boleh diambil ialah usaha mengembalikan semula masyarakat kepada agama, bermula dengan akidah. Isu murtad sebagai suatu isu akidah merupakan perkara yang serius, Umat Islam perlu memahami akidah yang sahih, akidah yang benar.

Lihat kepada contoh yang ditunjukkan oleh Nabi selama 13 tahun di Mekat Mukarramah. Penekanan Nabi ialah kepada isu-isu akidah. Hasilnya dilihat ketika di Madinah, apabila turunya ayat mengharamkan arak, mereke terus memecahkan kendi-kendi yang berada ditangan. Begitu juga apabila turun ayat tentang hijab (menutup aurat), para wanita terus menarik langsir-langsir rumah untuk menutup aurat mereka.

Ini menunjukkan bahawa akidah yang benar akan membentuk akhlak dan tingkah laku yang benar. Sebalik akidah yang rosak akan melahirkan tingkah laku dan adab yang rosak..

Kemudian yang kedua ialah ilmu, yakni memberi pendedahan ilmu kepada masyarakat berkaitan hal-hal seperti ini. Adakalanya perkataan-perkataan seperti hak asasi didoktrinkan secara salah, tanpa memberi perspektif dan sudut pandang Islam akan hal itu.

Apabila tiada atau kurangnya ilmu yang benar tentang sesuatu perkara, maka terjadilah banyak fitnah dan kekacauan seperti yang dijelaskan oleh Nabi dari sahabat Abu Hurairah berkaitan akhir zaman,

“Zaman saling berdekatan, ilmu dihilangkan, berbagai fitnah bermunculan, kebakhilan dilemparkan (ke dalam hati), dan pembunuhan semakin banyak.” (Sahih Muslim)

Pengajaran dan Iktibar dari Lahirnya Kelompok Songsang

Jika kita kembali kepada sejarah, Nabi menyebutkan satu hadis,

“Akan ada di penghujung umat ini, orang yang ditimpa tanah runtuh, orang yang dirubah wajah, dan orang yang dipanah petir dan batu.” 
Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah. Adakah kami akan musnah walaupun ada orang soleh di kalangan kami?” 
“Ya, sekiranya banyak berlaku perkara jijik.” (Sunan Tirmidzi)

Imam al-Aini menjelaskan pengertian jijik ialah banyaknya perzinaan dan anak luar nikah.

Apabila dikatakan perzinaan, ia juga bermaksud perkara jijik lagi keji iaitu liwat. Ini kerana kedua-dua hal ini yakni zina dan liwat Allah sebutkan sebagai perkara yang keji (fahisyah), 

Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat.” (As-Isra’ 17 : 32)

Begitu juga ayat tentang liwat, perkataan “fahisyah” digunakan : 

“Dan Nabi Lut juga berkata kepada kaum : "Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? (Al-A’raf 7 : 80)

Maka bersiap-sedialah kepada sesiapa yang menyokong atau mendokong kepada perkara seperti ini, mereka akan terdedah dengan bala Allah; pertama ‘Khasaf” ditimpa tanah runtuh,  kedua “masakh” diubah wajah atau karekter menjadi lebih buruk dari binatang, dan yang ketiga akan ditimpa dengan panahan petir dan halilintar. Ini tiga ancaman dari Nabi.

Iktibar dan pengajaran yang boleh diambil yang pertamanya ialah berdasarkan sejarah ini.

Keduanya ialah kesan kepada nilai murni dalam masyarakat. Baik ia berupa modal insan ataupun integriti yang sering diperkatakan. Lebih-lebih lagi sepertiyang dijelaskan oleh Tan Sri Harussani bahawa tidak ada agama yang mengiktiraf amalan ini. Bukan sahaja itu, agama Islam yang menjadi agama rasmi dala negara ini melarang perbuatan tersebut dan di sokong oleh undang-undang negara.

Penolakan ini bukanlah dibuat atas dasar sentimen atau emosi. Sebaliknya ia melihat kepada keburukan atau mafsadah yang lebih besar dari faedah yang sedia ada. Dan kita juga berharap para ilmuan Islam bersuara dan menyatakan pandangan atas dasar Islam.

Disalin dari rakaman rancangan Soal Jawab TV3. Editor : Abu Abdillah Riduan Khairi, Biro Penerbitan dan Multimedia, iLMU.



Bagi sesiapa yg tiada software untuk download video dari youtube, boleh download guna cara ini.
Cara download: http://abuaqif.blogspot.com/2010/04/youtube-bagaimana-cara-nak-savedownload.html

http://www.youtube.com/abuaqif
http://www.youtube.com/ufbchannel
http://www.youtube.com/urdchannel
http://www.youtube.com/ufmochannel
http://www.facebook.com/abuaqifstudio



0 comments:

Post a Comment

 
Abu Aqif Studio © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger

Top