Komen Abu Aqif: Puasa hari Sabtu sememangnya menjadi soalan ulangan. Apatah lagi jika jatuhnya puasa² sunnah pada hari Sabtu seperti puasa Arafah sepertimana yang telah diumumkan pada pada tahun ini berlaku pada Hari Jumaat (Malaysia hari Sabtu).

Perkara ini memang menjadi ke-khilafan kepada semua yang di dalam hatinya sangat gemar beribadat, sentiasa mencari-cari peluang mengumpul amalan. Namun dalam ghairah mencari pahala takut juga jika terjatuh dalam melakukan perkara yang haram. Contohnya seperti 'Puasa Hari Sabtu' yang sememangnya jelas sudah ada larangan ke atasnya.

Walaupun ada pendapat yang menyatakan larangan tersebut sudah dimansuhkan, namun ada juga pendapat yang menyatakan pendapat yang memansuhkan itu kurang tepat. Dan perkara ini menjadikan ianya khilaf berpanjangan.

Namun, walaupunnya ianya khilaf, apakah pilihan kita? Mana satukah pilihan kita yang terbaik. Sebagai manusia yang diberikan akal, kita juga mesti mencari-cari pendapat mana satukah yang lebih kuat dan lebih rajih. Bukan sekadar ikut-ikutan.

Mohon ikuti video penjelasan Ustaz Idris Sulaiman di atas dan tulisan beliau di bawah untuk lebih pencerahan. Dan mohon melapangkan dada jika anda mempunyai pendapat yang berbeza kerana memang sudah diketahui perkara ini khilaf yang muktabar. Posting ini cuma memberi lebih pencerahan bagaimana pendapat larangan puasa hari sabtu mesti didahulukan daripada sebaliknya.

Allahua'lam.



Oleh: Abu Omar Idris bin Sulaiman

Hadis tentang puasa pada hari Jumaat

1. ” عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أن رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قال ” لا تَخْتَصُّوا لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ بِقِيَامٍ مِنْ بَيْنِ اللَّيَالِي وَلا تَخْتَصُّوا يَوْمَ الْجُمُعَةِ بِصِيَامٍ مِنْ بَيْنِ الْأَيَّامِ إِلَّا أَنْ يَكُونَ فِي صَوْمٍ يَصُومهُ أحدكُم

Daripada Abu Hurairah bahawasanya Rasulullah sallalahu alaihi wasallam berkata, “Jangan kamu khaskan malam Jumaat dengan solat yang berbeza daripada malam-malam yang lain dan jangan kamu khaskan hari Jumaat dengan puasa yang berbeza daripada hari-hari yang lain kecuali jika sekiranya ia jatuh pada hari yang seseorang kamu berpuasa padanya.” (Riwayat Muslim)

2. ” عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ ” لا يَصُومَنَّ أَحَدَكُمْ يَوْمَ الجُمُعَةِ إلا أَنْ يَصُومَ يَوْمًا قَبْلَهُ أَوْ يَوْماً بَعْدَهُ

Daripada Abu Hurairah bahawasanya Nabi sallalahu alaihi wasallam bersabda, “Janganlah seseorang kamu berpuasa pada hari Jumaat kecuali dengan berpuasa sehari sebelum atau sehari selepasnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

3. عَنْ عَبْدُ اللهِ ابْنُ عَمْرُو أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَخَلَ عَلى جُوَيْرِيَّةِ بْنَتِ الحَارِثَ وَهِيَ صَائِمَةٌ فِي يَوْمِ الجُمُعَةِ فَقَالَ لَهَا: “أَصُمْتِ أَمْسِ؟ ” فَقَالَتْ: لا . قَالَ: “أَتُرِيدِينَ أَنْ تَصُومِي غَدًا؟ ” قَالَتْ: لا . قَالَ: “فَأَفْطِرِي إِذَنْ

Daripada Abdullah bin Amru bahawasanya Rasulullah sallalahu alaihi wasallam pergi ke rumah Juwairiyah binti Al-Harith dan mendapati bahawa dia berpuasa pada hari Jumaat. Maka Baginda bertanya, “Adakah engkau berpuasa semalam?” Jawabnya: tidak. Baginda bertanya lagi, “Adakah engkau mahu berpuasa esok?” Jawabnya: tidak. Baginda pun berkata, “Kalau begitu berbukalah.” (Riwayat Bukhari)

Hadis tentang puasa pada hari Sabtu

4. ” عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ بُسْرٍ عَنْ أُخْتِهِ الصَّمَّاءِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ ” لا تَصُومُوا يَوْمَ السَّبْتِ إِلَّا فِيمَا افْتُرِضَ عَلَيْكُمْ فَإِنْ لَمْ يَجِدْ أَحَدُكُمْ إِلَّا لِحَاءَ عِنَبَةٍ أَوْ عُودَ شَجَرَةٍ فَلْيَمْضُغْه

Daripada Abdullah bin Busr daripada kakaknya Al-Samma’ bahawasanya Rasulullah sallalahu alaihi wasallam berkata,“Jangan kamu berpuasa pada hari Sabtu kecuali dalam apa yang difardukan (diwajibkan) atas kamu, dan jika sekiranya seseorang kamu hanya mempunyai kerak anggur atau tangkai pokok maka hendaklah ia mengunyahnya.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Tirmizi, Ibnu Majah dan Al-Darimi. Imam Al-Tirmizi menghasankannya manakala Syeikh Al-Albani mensahihkannya dalam Irwaa’ Al-Ghalil hadis no. 960)

5. ” عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ قَالَتْ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ يَوْمَ السَّبْتِ وَيَوْمَ الْأَحَدِ أَكْثَرَ مَا يَصُومُ مِنَ الْأَيَّامِ وَيَقُولُ ” إِنَّهُمَا يَوْمَا عِيدٍ لِلْمُشْرِكِينَ فَأَنَا أُحِبُّ أَنْ أُخَالِفَهُمْ

Daripada Umm Salamah bahawasanya Rasulullah sallalahu alaihi wasallam berpuasa pada hari Sabtu dan Ahad lebih daripada hari-hari yang lain dan Baginda berkata, “Kedua-duanya adalah hari raya orang-orang Musyrikin, maka saya suka menyelisihi mereka.” (Riwayat Ahmad dan didaifkan oleh Syeikh Al-Albani dalam Silsilah Dha’ifah hadis no. 1099).

Kesimpulan tentang puasa hari Jumaat

Dapat dikatakan bahawa berpuasa pada hari Jumaat adalah dilarang kecuali;

1. Dengan berpuasa sehari sebelumnya (Khamis); atau,
2. Sekiranya ia menepati adat puasa seseorang itu.

Perbincangan tentang puasa hari Sabtu

Terdapat perbezaan pendapat ulama tentangnya. Ada yang mengatakan:

1. Ia harus, sama seperti puasa hari Selasa dan Rabu. (Pendapat Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah).

2. Harus, dengan syarat ia tidak dilakukan secara ifrad (dengan berpuasa pada hari Sabtu sahaja) dan hendaklah dengan berpuasa sehari sebelum (Jumaat) atau sehari selepasnya (Ahad).

3. Ia dilarang kecuali dalam puasa fardu. (Pendapat Syeikh Al-Albani rahimahullah).

Syeikh Al-Albani rahimahullah dalam kitabnya ‘Tamam Al-Minnah’ (halaman 405-408) menyimpulkan bahawa hadis larangan berpuasa pada hari Sabtu (hadis nombor 4) adalah sahih. Walaupun ada ulama yang mendaifkannya, tetapi jalan-jalan riwayatnya saling menguatkan antara satu sama lain sehingga menjadikannya sahih tanpa keraguan padanya.[1]

Adapun alasan bahawa berpuasa pada hari Sabtu hanya dilarang sekiranya ia dilakukan secara ifrad (dengan berpuasa pada hari Sabtu sahaja), Syeikh Al-Albani rahimahullah melihat bahawa alasan ini tertolak dengan sabda Baginda sallalahu alaihi wasallam “kecuali dalam apa yang difardukan atas kamu” dalam hadis nombor 4 di atas.

Seperti mana yang dijelaskan oleh Ibnu Al-Qayyim dalam ‘Tahziib Al-Sunan’, larangan berpuasa pada hari Sabtu meliputi semua jenis puasa sunat pada hari Sabtu tidak kira sama ada puasa sunat itu dilakukan pada hari Sabtu sahaja atau ia dilakukan dengan disertai dengan berpuasa sehari sebelum atau selepasnya. Kalaulah benar yang dilarang adalah puasa hari Sabtu secara ifrad sahaja pasti Baginda sallalahu alaihi wasallam telah menyatakan: Jangan berpuasa pada hari Sabtu kecuali dengan berpuasa sehari sebelum atau sehari selepasnya sepertimana yang dinyatakan dalam puasa hari Jumaat (hadis no. 2).

Walaubagaimanapun, bagi menghimpunkan antara hadis larangan berpuasa pada hari Sabtu (hadis no. 4) dan hadis-hadis yang mengharuskannya (hadis no. 2 dan 3), Ibnu Al-Qayyim menyimpulkan bahawa apa yang dilarang adalah berpuasa pada hari Sabtu secara ifrad. Dalam hal ini, Syeikh Al-Albani rahimahullah melihat bahawa kesimpulan ini tidak mungkin kerana:

1. Ia jelas menyalahi hadis larangan berpuasa pada hari Sabtu (hadis no. 4) yang hanya memberi pengecualian pada puasa fardu.

2. Terdapat cara yang lain yang boleh digunakan bagi menghimpunkan hadis-hadis ini iaitu dengan menggunakan kaedah-kaedah Usul Fiqh yang telah digariskan oleh para ulama. Antaranya:

I. Sekiranya satu dalil yang melarang bertembung dengan dalil yang mengharuskan; dalil yang melarang akan didahulukan.

II. Sekiranya satu dalil kata-kata Rasulullah sallalahu alaihi wasallam bertembung dengan dalil perbuatan Baginda; dalil kata-kata Baginda akan didahulukan.

Berdasarkan kaedah-kaedah ini, hadis larangan berpuasa pada hari Sabtu (hadis no. 4) perlu didahulukan kerana ia larangan manakala hadis nombor 2 dan 3 adalah pengharusan. Begitu juga dengan hadis perbuatan Baginda sallalahu alaihi wasallam yang banyak berpuasa pada hari Sabtu dan Ahad (hadis no. 5), sekiranya hadisnya sahih, dalil kata-kata Baginda yang melarang berpuasa pada hari Sabtu juga perlu didahulukan berdasarkan kaedah dalil kata-kata perlu didahulukan atas dalil perbuatan. Walaubagaimanapun, seperti mana yang dijelaskan oleh Syeikh Al-Albanirahimahullah, hadis nombor 5 ini adalah lemah.

Kesimpulan tentang puasa hari Sabtu

Seperti mana kesimpulan Syeikh Al-Albani rahimahullah, berpuasa pada hari Sabtu adalah dilarang tidak kira sama ada ia dilakukan secara ifrad mahupun dengan berpuasa sehari sebelum atau selepasnya. Ia tetap dilarang walaupun hari Sabtu itu adalah Hari Arafah (9 Zulhijjah) atau Asyura’ (10 Muharram) kerana jelas keduanya bukan puasa fardu. Hal ini sama dengan larangan berpuasa pada hari Isnin dan Khamis sekiranya Hari Raya jatuh pada salah satu hari tersebut. Ini berdasarkan Hadis Abu Hurairah bahawasanya “Baginda sallalahu alaihi wasallam melarang berpuasa pada dua hari iaitu; Hari Raya Aidil Fitri dan Aidil Adha” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Wallahu a’lam.

وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

7 Zulhijjah 1432H / 3 November 2011
_______________________________________

[1] Lihat ارواء الغليل hadis no. 960.

Video penjelasan ringkas oleh Dr Fadlan Mohd Othman berkenaan puasa Arafah pada Hari Sabtu




Kepada sesiapa yang ingin mendapat update sekaligus ingin share update terbaru dari blog Abu Aqif Studio ke wall masing², boleh klik di sini:

- Klik "Syndication" di sebelah kiri
- Klik "Grant Permissions"
- Klik "Add Facebook Target" dan klik "Add"

* selepas proses ini, setiap update video terbaru akan terus share di wall anda secara automatic. InsyaAllah.

Anda bebas untuk share dan download. Tidak perlu keizinan untuk mengambil video dari Channel Abu Aqif Studio. Namun video yang diambil dari Abu Aqif Studio mohon diberi sedikit kredit dengan link-kan semula kepada video yang asal. Jazakallahukhair.. Semoga bermanfaat..

2 comments:

 
Abu Aqif Studio © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger

Top